Tarian Magunatip atau tarian buluh merupakan tarian tradisi suku kaum Murut Kuhijau (Kwijau). Magunatip berasal dari perkataan ‘apit’ yang bermakna jepit (ketika menari kaki penari terjepit atau terapit oleh 2 buluh jikalau tidak cekap mengelakkannya). Buluh tersebut akan ditebang mengikut saiz dan kepanjangan yang sesuai. Selepas itu, buluh tersebut akan dijemur supaya ringan dan tahan lama. Setelah kering, proses mengecat buluh akan bermula dan dilukis dengan corak-corak yang menarik. Biasanya ia dilukis bermotifkan bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan.
Tarian Magunatip bermula dengan iringan pukulan alat muzik sansaring (gong kecil), jarang (gendang) dan kayu yang kemudiannya diikuti lagaan buluh. Bunyi gong tidak diperlukan lagi kerana bunyi buluh yang dilagakan akan mengeluarkan bunyi yang kuat dengan irama yang menarik dan unik. Beberapa penari lelaki dan wanita, terlonjak-lonjak menari dengan pakaian yang penuh tradisi, sementara dua atau empat orang melagakan alu dan dua orang lagi rnemegang pangkal alu tersebut supaya tidak berganjak dari kedudukannya.
Pakaian Adat Suku Kaum Murut
Lelaki memakai jaket barbarudan cawat dari kulit kayu puputul yang dilukis dengan motif dari manik atau warna. Perhiasan kepalanya “tupi sinulatan” juga dari kulit kayu.
Wanita menggayakan pakaian “pinongkolo” dari kain kapas berhiaskan motif sarat dari manik-manik berwarna-warni. Perhiasan diri juga dari manik seperti rantai “rarangkol” dan hiasan kepala “salupai”.
Tarian ini sudah dijadikan satu upacara rasmi, terutama sekali semasa majlis menyambut perayaan Pesta Ka’amatan iaitu hari Pesta Menuai Padi pada 30 & 31 Mei setiap tahun. Selain itu, tarian ini juga dipersembahkan di majlis-majlis tertentu seperti:
- Upacara Mansilad: Upacara pengubatan orang sakit
- Upacara Magintan Taduk: Upacara pemujaan semangat padi
- Upacara Titikas: Upacara majlis keramaian
- Upacara Massayau: Upacara pemujaan roh semangat
Sila lihat keratan video Tarian Magunatip yang disertakan. Semoga terhibur.
Dipetik dari sumber JKKN Sabah
Gambar dari Nokuro/ Shutterstock